Thursday, October 4, 2012

Ford anjurkan kempen derma darah sempena Minggu Prihatin Global Ford yang ketujuh





KUALA LUMPUR, Malaysia, 2 Okt., 2012 – Ford baru-baru ini berganding bahu dengan Pusat Darah Negara (PDN) untuk menganjurkan kempen derma darah sempena Minggu Prihatin Global Ford yang ketujuh. Kempen Malaysia ini bertujuan untuk mengisi tabung darah negara, yang masih berada pada tahap yang rendah berbanding banyak negara lain.

Hampir 100 kakitangan daripada Ford dan pengedar tunggal Ford, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), serta pelanggan-pelanggan Ford tampil secara sukarela menderma darah untuk menjayakan kempen ini.

Kempen derma darah selama sehari ini diadakan di bilik pameran utama SDAC di Petaling Jaya. PDN telah melengkapkan sebahagian kawasan bilik pameran dengan katil dan mengendalikan pendaftaran, pengesahan jenis darah dan penentusahan penderma.

Walaupun terdapat beberapa peserta yang menderma darah buat pertama kali, semua peserta kelihatan ceria sambil menanti giliran mereka untuk berbuat amal. Sebagai tanda penghargaan, setiap penderma diberikan beg hadiah Ford.

“Pada tahun ini, kakitangan di seluruh rantau telah menggiatkan usaha dan berganding bahu dengan wakil penjual, rakan niaga dan pelanggan untuk membantu melakukan sesuatu yang bermakna dalam masyarakat kita,” kata Patrick O’Neill, pengurus serantau alat ganti dan servis, Asia Pasifik, Operasi Eksport dan Pertumbuhan Ford. “ Kami bangga dengan inisiatif ini kerana sokongan yang diberikan dapat meningkatkan tahap tabung darah untuk membantu masyarakat dalam masa yang kritikal.”

Sempena dengan Minggu Keprihatinan Global tahun ini, lebih 3,800 kakitangan di Asia Pasifik dan Afrika mencurahkan masa dan tenaga untuk menjayakan 85 projek, daripada kerja pembersihan pantai kepada membantu pelajar cacat akal untuk menghasilkan karya seni. Masa keseluruhan yang diluangkan oleh sukarelawan berjumlah 21,254 jam.

Dalam tempoh tujuh tahun lepas, beribu-ribu kakitangan Ford di enam benua telah menggembleng tenaga untuk menyediakan khidmat sokongan baru demi manfaat penduduk setempat.

0 comments:

Post a Comment